“Hmmm… Boleh tak kalau malam ni kau tidur di sini?” Ujar Inas laju kerana terlalu malu untuk mengungkapkan keinginannya. Dia hanya ingin menghabiskan hujung minggunya berdua bersama Alea.
“Tapi…”
“Tidur saja Alea, aku janji tak buat apa-apa. Tapi kalau kau nak kita buat apa-apa, aku tak kisah.”
Blush! Wajah Alea merona merah mendengar kata-kata Inas.
“Lea tak bawa baju lebih.” Ujar Alea sengaja mencari alasan.
“Boleh pakai baju aku.” Balas Inas lalu berdiri meninggalkan Alea yang masih bingung.
Alea menjadi salah tingkah, seumur hidupnya ini kali pertama dia berdua-duaan dengan lelaki. Walaupun Inas adalah suaminya, namun mereka bukan pasangan kekasih yang sedang hangat bercinta. ‘Inas dah janji tidak akan melakukan apa-apa.’ Fikir Alea untuk menenangkan hatinya.
*
Selesai menikmati makan malam bersama Inas, Alea mengumpul bekas makanan yang dipesan secara online. Alea berusaha menyembunyikan senyumannya kerana ini pertama kali mereka makan berdua dan pertama kali dia membersihkan rumah suaminya. Hatinya senang.
Inas yang sedang duduk menonton TV sesekali melirik Alea yang kelihatan senang, walaupun masih ada perasaan canggung di antara mereka berdua. Sudut bibirnya terangkat memikirkan dia memiliki seorang isteri. Dia nekad untuk cepat-cepat memberitahu umi dan abinya tentang Alea.
“Alea. Boleh tolong buatkan air coklat panas?”
Alea mengangguk lalu bergegas ke dapur. Setelah selesai, dia meletakkan secawan air coklat di hadapan Inas. “Lea nak mandi. Mmmm… Boleh Lea pinjam baju Inas?” Tanya Alea malu-malu.
“Aku dah letak tuala dan baju atas katil.” Kata Inas sambil menghirup coklat panas. Matanya tertutup menikmati rasa air coklat yang selama ini dia rindukan. Teringat kali pertama Alea menyediakan air coklat panas sebelum gadis itu meninggalkan rumah uminya.
Alea melangkah masuk ke dalam bilik Inas, matanya tertumpu ke arah katil Inas. Terdapat sehelai tuala berwarna putih, baju tidur lelaki berwarna biru lembut dan…
Alea menelan liur, matanya terbelalak melihat terdapat 3 pasang pakaian dalam wanita pelbagai saiz yang masih terbungkus rapi. ‘Ini milik girlfriend dia?’ Fikir Alea gundah. Dia menarik nafas dalam kerana ada rasa kecewa yang menjalar di hatinya.
“Kalau sesuai kau boleh pakai.”
Bahu Alea terangkat kerana terkejut saat Inas berdiri di belakangnya. Hembusan nafas Inas terasa hangat di telinganya.
Pijan pernah beli banyak saiz sebab lupa saiz wife dia. Dia simpan di rumah aku sebab tak nak wife dia tahu, nak buang sayang. Benda tu bukan milik siapa-siapa” Jelas Inas.
Alea menoleh menatap wajah suaminya. “Inas, kita pernah jumpa sebelum ni?” Tanya Alea inginkan kepastian.
“Pernah.” Jawab Inas ringkas membalas tatapan mata Alea.
Alea tersenyum lebar. Yakin itu pasti pertemuan pertama mereka, saat dia masih bekerja di supermarket Dinos. Dia masih ingat betapa angkuhnya Inas saat itu.
Alea ketawa sendiri memerhatikan pantulan dirinya di cermin. Rambutnya dibungkus tuala kerana masih basah. Baju tidur yang dikenakan cukup besar untuk dirinya, seluarnya dilipat beberapa kali kerana terlalu panjang. Dia keluar dari bilik air sambil membawa bakul yang berisi pakaiannya yang telah dicuci. Sudut bibirnya terangkat melihat backpack miliknya berada di atas katil. ‘Pasti Inas turun ambil di kereta tadi.’ Gumam Alea.
Inas yang sedang menonton TV menoleh ke arah Alea yang sedang menjemur pakaiannya di balkoni. Sudut bibirnya terangkat melihat baju yang dikenakan Alea. Lucu!
“Alea.” Panggil Inas saat Alea selesai menjemur pakaiannya. “Duduk sini.” Arah Inas sambil matanya menunjuk ke arah lantai yang beralas karpet bebulu lembut.
Kening Alea berkerut ingin bertanya, namun setelah melihat alat pengering rambut di tangan pemuda itu, dia akur.
Inas melepaskan tuala yang membungkus rambut Alea perlahan lalu mengeringkan rambut isterinya. “Dah pukul 9 malam, kenapa cuci rambut. Macam mana kalau kau masuk angin atau demam. Sebelum tidur pastikan rambut kau kering.” Bebel Inas sambil tangannya sibuk mengeringkan rambut Alea. Sesekali dia menarik nafas dalam menghirup aroma perfume yang keluar dari tubuh Alea.
Alea memejamkan matanya menikmati layanan yang diberikan Inas saat ini. Dia tidak menyangka Inas akan membantunya mengeringkan rambut mengingatkan sikap Inas yang dingin dan angkuh. Sesekali dia tersenyum mendengar bebelan yang keluar dari mulut pemuda itu.
Dia tidak ingat bila kali terakhir dirinya diperlakukan dengan baik seperti ini. Selepas pemergian ibunya, dia tidak pernah merasa diperhatikan seperti sekarang. Abangnya bekerja keras setiap hari untuk menampung keperluan hidup mereka sehingga tidak ada masa untuk memerhatikannya. Tanpa sedar Alea menghela nafas kasar.
Inas mengerutkan kening mendengar Alea menghela nafas kasar. ‘Apa yang difikirkan oleh gadis ini?’ Fikir Inas.
“Nanti bagi aku nombor telefon dan nombor akaun bank kau. Mulai sekarang kau tak perlu kerja part time. Walaupun masih muda, kena jaga kesihatan. Tambah lagi kau perempuan.” Bebel Inas.
‘Ah… Inas suka membebel!’ Gumam Alea menyembunyikan senyumannya.
“Kalau perempuan tak boleh kerja?” Tanya Alea sengaja membahas.
“Boleh Alea. Tapi aku tak nak kau kerja keras macam dulu.”
“Kenapa?”
“Sebab kau isteri aku!”
Alea tergamam mendengar kata-kata Inas, wajahnya tidak dapat menyembunyikan senyumannya saat ini. Sungguh tidak boleh!
“Dah siap. Jom tidur.” Ajak Inas dengan tangannya sibuk menggulung cable pengering rambut.
“Er… Tidur di mana?” Tanya Alea bingung kerana gugup. ‘Tidur bersama Inas? Aku belum bersedia, tapi macam mana kalau dia minta hak dia sebagai suami? Berdosa kalau aku tolak. Tapi…’
“Tidur di bilik, atas katil. Apa yang kau fikir? Jangan-jangan kau nak lebih dari sekadar tidur? Aku tak ada masalah, anytime.” Usik Inas sambil menatap Alea tajam.
“Eh… Tak nak.” Jawab Alea lalu melangkah laju menuju ke bilik Inas dengan wajah yang merona merah.
Inas tersenyum menyeringai melihat kelakuan isterinya.