Brrtt…
Saat mereka ingin keluar dari apartment, handphone Alea bergetar. Dia pantas membuka mesej yang diterima. Tangannya menutup mulutnya seakan-akan tidak percaya membaca notification mesej yang diterima.
66**0,
SYAFI INAS ABDUL RAHMAN transferred MYR5000.00 to your current/savings account…
Tangan Alea bergetar kerana seumur hidupnya, dia tidak pernah menerima duit sebanyak itu. Sama banyak dengan gajinya sebagai cashier selama 6 bulan.
Syafi Inas,
Lea minta izin nak keluar. Bukan minta duit Inas
Aku bagi nafkah zahir. Nafkah batin pun boleh kalau kau nak
Gatal!
Alea mengipas wajahnya menggunakan tangan, wajahnya terasa panas membaca mesej Inas.
“Kau kenapa Lea, demam?” Tanya Maimun memegang dahi Alea.
“Tak. Jom jalan sebelum aku tukar fikiran.”
*
“Hai Alea.” Sapa seorang pemuda.
Alea dan Maimun menoleh ke arah suara yang memanggil nama Alea.
“Hai.” Jawab Alea datar. Kurang senang dengan kehadiran Nazrul, sememangnya dia tidak pernah ingin mendekatkan diri dengan tunangan orang itu.
“Dah habis beli barang? Kalau dah Naz nak ajak minum petang.” Ajak Nazrul tidak melepaskan pandangannya dari wajah Alea.
Maimun yang memegang troli menatap pemuda tersebut dengan kening berkerut. Dia menarik tangan Alea menandakan dia tidak bersetuju dengan cadangan Nazrul. ‘Tak pasal-pasal tunang dia salah faham nanti.’ Fikir Maimun.
“Maaf Nazrul, kami masih ada barang nak beli.” Tolak Alea sopan.
“Sekejap je Alea. Lagipun dah lama kita tak jumpa.”
“Tak baik kalau tunang Nazrul tengok, lagipun kami betul-betul masih ada barang nak beli.”
“Ok. Fine. Macamlah kau tu baik sangat! By the way, siapa nama lelaki yang kena tangkap khalwat dengan kau hari tu?” Bisik Nazrul perlahan lalu melangkah pergi dengan senyuman mengejek terpancar di wajahnya.
Alea terpaku mendengar kata-kata Nazrul. Dia mengetap bibirnya kuat menahan rasa sakit hati. Seingatnya tidak ada yang tahu tentang perkara tersebut, bagaimana Nazrul boleh tahu? Maimun yang merupakan sahabatnya juga tidak mengetahui tentang perkara tersebut.
“Mun, jom balik. Aku tak ada mood nak beli barang.”
“Okay, lagipun semua barang dah beli.”
Sepanjang perjalanan balik ke apartment sewa mereka, Alea tidak bersuara. Dia membiarkan Maimun bercerita dengan pemandu teksi. Fikirannya benar-benar kusut memikirkan kata-kata Nazrul tadi. Hatinya terluka setiap kali ungkapan ‘tangkap khalwat’ terdengar di telinganya.
Sesampainya mereka di apartment, Alea mengurung dirinya di dalam bilik. Kata-kata Nazrul betul-betul mengguris hatinya. Air matanya mengalir tanpa dapat dihentikan lagi.
Tok tok tok!
“Alea, kau okay tak ni?” Tanya Maimun di sebalik pintu bilik Alea.
“Aku okay.” Jawab Alea dengan suara sengau. Tangannya mencapai sapu tangan di bawah bantalnya, menggenggamnya dengan erat, membiarkan air matanya terus mengalir.
Keesokan paginya Maimun terkejut melihat mata Alea yang bengkak. “Astaghfirullah, mata kau bengkak Lea. Kau marah dengan aku? Aku ada buat salah? Kenapa kau nangis?”
Alea tersenyum mendengar pertanyaan bertubi-tubi dari sahabatnya. “Tak ada apa-apa Mun, lain kali aku cerita okay. Jom gerak.”
Alea sengaja menyibukkan dirinya membantu penyelianya, Puan Yani merekod transaksi invoice dan cek serta membantu mengemaskini data kewangan syarikat. Dia sedia maklum itu merupakan kerja asas bagi pekerja junior sepertinya.
“Tak pergi lunch Alea?” Tanya Puan Yani.
“Tak puan.” Jawab Alea sambil tersenyum ramah. Dia malas turun ke café mengingatkan Maimun keluar bersama Fairuz. Ditambah lagi dengan mata yang bengkak, dia tidak ingin menjadi perhatian kakitangan lain.
*
Inas berdiri di sebalik cermin gelap bilik Hafizan dengan tangannya disilangkan di dadanya. Matanya tidak lepas dari memerhatikan isterinya yang sibuk mengerjakan tugasnya.
“Kalau dah rindu sangat, keluar jumpa dia. Jangan nak main sorok-sorok dalam office aku.” Usik Hafizan.
“Aku tak nak staff kau tahu.”
“Kenapa? Kau malu sebab Alea isteri kau?”
Pertanyaan Hafizan membuatkan Inas menjeling tajam. “Aku tak nak dia ada masalah sepanjang praktikal, aku tak nak timbul cerita tak baik pasal dia.” Jelas Inas.
Sudut bibir Hafizan terangkat mendengar jawapan Inas. “Jadi bila kau nak bagitahu umi dan abi?”
“Lepas Alea habis praktikal. Aku tak nak bebankan fikiran dia sekarang.”
Hafizan mengangguk faham. Dia juga tahu bagaimana susahnya hidup Alea sebelum ini, dia juga ingin gadis itu berjaya mencapai cita-citanya dan mendapatkan pekerjaan yang baik.
“Kau tak nak jumpa dia sebelum outstation? 2 minggu kau tak jumpa dia lepas ni.” Tanya Hafizan menghampiri sepupunya yang masih berdiri memerhatikan Alea.
“Tak apa, aku dah bawa dia balik apartment Sabtu lepas.” Jawab Inas datar sambil memasukkan tangannya ke dalam saku.
“What!? Jangan buat hal Inas kalau kau tak serius dengan dia! Kau dah buat apa dengan b***k tu?” Tanya Hafizan keras.
“Relax lah, dia isteri aku. Lagipun aku tak buat apa yang kau fikirkan tu.” Jawab Inas menjuihkan bibirnya.
‘Ya, aku tak buat apa-apa, aku cium bibir dan tinggalkan bekas merah di leher dia.’
Hafizan menggeleng memandang Inas yang sudah duduk di sofa sambil menyilangkan kakinya. “Jangan buat dia keliru Inas. Hujung-hujung nanti kau yang menyesal. Aku tak nak tolong kalau dia betul-betul jatuh hati dengan Hanafi.” Ugut Hafizan sengaja memancing amarah sepupunya.
“Jannnnn… Dia isteri aku, kenapa pulak dia nak jatuh hati dengan Nafi!”
Hafizan mengabaikan kata-kata Inas. Dia menghampiri mejanya lalu menekan intercom. “Alea, masuk bilik saya sekarang.”
Inas yang masih duduk di sofa terkejut mendengar sepupunya memanggil Alea. “Pijaaannnn. Nanti aku call dia, tak payahlah panggil dia sekarang!” Ujar Inas kesal.
“Kenapa muka kau merah?” Tanya Hafizan dengan ketawa yang tidak dapat ditahan. Geli melihat sepupunya berkelakuan seperti b***k belasan tahun yang sedang jatuh cinta.
Tok tok tok!
Alea membuka pintu bilik Hafizan perlahan. “Ada apa tuan?” Tanya Alea sopan, hidungnya menangkap aroma yang sangat familiar di hidungnya.
“Ada orang nak jumpa awak.”
Alea menoleh ke arah yang ditunjukkan oleh Hafizan. Bibirnya digigit kuat cuba menyembunyikan senyumannya saat melihat Inas duduk di sofa sambil membelek majalah di tangannya.
Hafizan memerhatikan Inas dan Alea yang masih tercegat di kedudukan masing-masing, tiada yang ingin memulakan bicara. Dia menghela nafas keras sambil melirik jam tangannya.
“Setengah jam.” Ujar Hafizan lalu keluar meninggalkan Inas dan Alea.